Tertarik pula dengan kitaran ni. Kerja, pulang, main hp, tidur. Boleh dikatakan itulah rutin harian setiap orang termasuk che kak sendiri. Nampak senang je 'hidup', kan?
Jom kita muhasabah diri kita sendiri apa yang kita buat setiap hari?
Sebelum pergi kerja, apa yang kita buat?
Sia-sia hidup kalau kita tak solat dulu. Sebelum solat subuh, cubalah solat sunat dulu. Kalau kita solat dulu, perasan tak kita akan rasa macam ada masa yang panjang. Cubalah.
Lepas solat, che kak akan iron baju sekolah anak-anak dan baju che kak sendiri. Kadang-kadang anak akan iron baju masing-masing.
Che kak memang takde kerajinan nak iron baju untuk seminggu atau sebelum tidur. Perangai di bawa dari zaman sekolah hinggalah kini.
Dulu masa anak-anak kecil lagi, penat tau nak iron baju. Lenguh segala urat sendi. Pernah tau menangis sebab penat sangat iron baju.
Lepas mengadu kat suami dan teringin sangat nak beli iron wap yang mahal tu, terus suami belikan. Memang berbaloi la beli dan guna iron jenis wap. Cepat dan paling penting tak risau pakaian terbakar dek iron biasa.
Syukurlah mak-mak zaman sekarang ni dah banyak gajet untuk mudahkan kerja harian kita.
Tak dapat nak dibayangkan kalau kita masih lagi guna iron yang berat atau yang guna arang tu lagi.
Lepas iron baju, kadang-kadang sediakan sarapan untuk bekal anak-anak. Tengok pada tahap kerajinan dan request dari anak-anak.
Jarang la che kak masak waktu pagi sebab, eh banyak pula alasan nak tulis ni.
Che kak memang tabik spring la kat mak-mak yang sangat rajin dan kreatif buat sarapan dan bekal anak-anak.
Lepas hantar anak ke sekolah, terus ke pejabat. Suami che kak hantar anak sekolah rendah. Che kak pula hantar anak sekolah menengah. Yang dah ada lesen L, pergi sendiri.
Setakat ni sampai pejabat jam lebih kurang 7.30 pagi.
Kerja ni memang takkan habis sampai kita mati pun akan ada orang sambung buat kerja kita. Jadi, pandai-pandailah kita atur masa dan jangan bertangguh untuk elak kerja makin bertimbun.
Waktu kerja kita buat kerja. Kalau penat, rehat dulu. Semakin meningkat usia ni semakin mudah kita rasa penat fizikal dan otak.
Jaga kesihatan, minda, emosi kita. Kita kena juga jaga hubungan dengan rakan sepejabat. Hormat ketua kita. Apa jua tugasan, masalah dan isu, sentiasalah berbincang dengan ketua.
Saling hormati dengan rakan sekerja atau anak-anak buah. Terima pandangan mereka walaupun mereka lagi muda dari kita.
Tak jatuh standard pun kita ni kalau terima pandangan dan idea dari orang yang lebih muda atau anak buah.
Paling penting buat kerja ikut garis panduan yang ada. Jangan sesekali terima bulat-bulat dari ajaran orang lama.
Kadang kadang garis panduan, SOP sentiasa berubah seiring dengan perubahan masa dan isu berbangkit.
Jangan sesekali bergaduh dengan klien. Tak menang pun kita ni. Penat otak tau nak tulis laporan Aduan Pelanggan.
Sekali sekala enjoy dengan rakan sekerja. Buat aktiviti contohnya masak-masak. Hari ni, kitorang belajar masak gulai darak daun kesum ikan talapia. MasterChef En. Bahrom. Sebelum tu, beliau pernah masak patin tempoyak yang bakar tu. Tak ingat dah nama resepi tu. Pais tempoyak ikan patin kot.
Syukur alhamdulillah, makan sedap dengan bajet lima ringgit je sorang.
Dah jimat tau makan tengahari kat kedai.
Kalau takde tugasan urgent, elakkan balik lewat sangat. Bagi perhatian pada keluarga pula. Takde pun kayu ukur mengatakan balik kerja lewat tu adalah pekerja paling rajin dan produktif.
Bergantung kepada jenis tugasan juga la. Contohnya kes perlindungan kanak-kanak. Memang kena selesaikan tak kira waktu kerja.
Balik kerja, memang banyak kerja rumah yang duk menanti. Kalau balik lewat sangat, dah penat tahap gaban.
Bab kerja rumah ni, che kak tengok pada kerajinan juga. Kalau rajin, buat. Kalau malas atau penat, tak payah buat.
Kain baju berbakul-bakul tak lipat tu, abaikan je. Tak lari pun kain tu.
Sebaik-baiknya dan seboleh mungkin cubalah masak sendiri walaupun sekadar menu ringkas. Makan bersama dengan keluarga. Itu je waktu yang kita ada bersama dengan keluarga.
Syukurlah sekarang ni basuh baju sangat mudah. Masukkan kain baju dalam mesin basuh automatik, tekan butang tunggu siap je. Nak keringkan baju pun sangat mudah. Tak perlu dah susah-susah nak jemur sebelum pergi kerja.
Che kak pun dah rasa lega sikit sebab anak-anak dah besar dan boleh bantu urusan kerja rumah.
Bab main hp ni, pandai-pandailah kita guna gajet ni dengan sebaik-baiknya. Sentiasa pantau anak-anak yang guna hp. Mudharat dan manfaat tu sama banyak. Macam pisau. Kalau kita guna dengan elok, eloklah pisau tu. Kalau guna untuk tikam orang, masuk penjara dan neraka la jawabnya.
Sebelum tidur, kita muhasabah diri kita. Jadikan hari esok lebih baik dari hari ini. Sentiasa maafkan orang untuk ketenangan diri sendiri.
Kita sendiri pun banyak dosa dengan orang. Kita hidup kat dunia ni tak lama pun.
Comments
Post a Comment