Hari ni masak nasi ayam setelah diminta encik suami. Licin seperiuk bersamaan 4 cawan nasi.
Itupun tak cukup sebab ada anak yang tak nak makan sekali. Malas dah nak masak yang lain sebab membazir nanti.
Che kak nak share resepi kesukaan setelah dicuba berkali-kali. Dulu rasa macam susah sebab banyak bahan nak guna dan caranya juga rumit sekali.
Kali pertama tengok Kak Aisyah dan maknya masak, baru ku tahu oooo nampak mudah pula resepi.
Try buat sekali masa panggil orang di kawasan perumahan rumah sewa suami. Masak sempena solat hajat untuk dipermudahkan bersalin anak pertama kami.
Kali kedua tengok cara masak masa bermalam di rumah Kak Ramlah dan rasanya sedap sekali.
Tapi tetap rasa takde keyakinan diri nak masak sendiri. Setiap kali nak makan nasi ayam, pastilah kami sekeluarga ke Tesco untuk menjamu selera kami.
Sekali sekala makan di The Chicken Rice Shop tapi boleh rabak poket setiap kali pergi.
Setelah berkali-kali mencuba pelbagai jenis resepi akhirnya che kak dah jumpa resepi yang nasinya enak sekali.
Selepas beras dicuci, che kak letak bahan-bahan iaitu butter, bawang putih, halia, daun pandan, minyak bijan dan kiub pati ayam dalam periuk nasi.
Che kak tak tambah pewarna kuning tiruan kerana suka nasi warna asli. Apabila masak semerbak bau nasi yang wangi. Oh ye, letakkan air rebusan ayam untuk pelengkap rasa nasi.
Dalam rebusan ayam, che kak letak bawang besar yang dihiris, halia dan bawang putih diketuk, akar ketumbar dan kiub pati ayam tanpa letak 5 sekawan kerana sup ayamnya rasa berbeza sekali.
Rebusan tadi, kalau ada kaki ayam letak la sekali. Rebusan kaki ayam rahsia kesedapan masakan termasuk goreng mi.
Sebelum tutup api dapur, che kak tabur daun bawang dan daun sup untuk bau sup yang wangi.
Sambalnya, che kak blend lada merah besar, tomato, air rebusan ayam, bawang putih, cuka, garam, gula dan masak sekejap atas api.
Ayam yang direbus tadi, diambil dari periuk dan digaulkan bersama bahan perapan dan dibiarkan seketika untuk sebati.
Che kak letak bahan perapan ayam kicap manis, kicap masin, sos tiram, minyak bijan, serbuk rempah dan madu untuk nampak berseri.
Lupa pula letak madu kali ini.
Perapan kicapnya jangan dibuang kerana itulah kuah kicap yang dimakan bersama nasi.
Goreng ayam jangan lama kerana ianya dah masak dalam kuah sup tadi.
Pelengkap menu adalah daun salad, timun, tomato dan ianya bukan hiasan semata kerana banyak vitamin yang terkandung dalam sayuran ini.
Niat nak masak nasi ayam untuk kawan-kawan ofis lama tak kesampaian kerana penyakit saka malas susah nak diubati.
Comments
Post a Comment